PARIS - PERANCIS. Rompakan bersenjata dilaporkan berlaku di Hotel Ritz yang terkenal di Paris, kelmarin.

Sekumpulan lelaki terdiri daripada lima lelaki bersenjatakan kapak kecil, bertindak memecahkan tingkap ruang pameran tingkat bawah hotel tersebut pada jam 6.30 petang (waktu tempatan) dan melarikan barang kemas bernilai 4.5 juta euro (RM21.4 juta)

Media tempatan melaporkan tiga daripada mereka berjaya diberkas manakala dua lagi masih diburu pihak berkuasa.

"Kami mendengar bunyi kuat dan keadaan turut menjadi riuh rendah. Ramai pejalan kaki berlindung di dalam hotel dan kami tidak tahu apa yang terjadi sehingga seseorang memberitahu telah berlaku rompakan," kata salah seorang pekerja hotel terkemuka di dunia itu.

Seorang lagi saksi mendakwa, dia melihat sebuah motosikal dipandu laju melalui jalan di belakang hotel terbabit selepas insiden tersebut.    

Difahamkan, pendakwa raya Paris telah melancarkan siasatan ke atas kejadian rompakan di hotel tersebut yang dibuka semula kepada orang ramai pada 2016, selepas pengubahsuaian selama hampir empat tahun, selain pernah terlibat dalam kebakaran sebelum ini. - AFP