BERLIN - JERMAN. Seorang remaja kehilangan lesen memandu hanya selepas 49 minit dia memperolehnya.

Remaja berusia 18 tahun itu baru pulang dari ujian memandu apabila dia ditahan polis di bandar Hemer.

Pistol laser had laju menunjukkan dia memandu dua kali ganda daripada had laju dibenarkan di zon 50 kilometer sejam.

"Ada perkara kekal selamanya dan ada yang cuma bertahan sejam," kata polis dalam satu kenyataan.

Jurucakap polis wilayah Markischer Kreis berkata, remaja tersebut mungkin cuba untuk menunjuk-nunjuk kebolehannya memandu kepada empat rakannya yang turut berada dalam kereta itu.

Difahamkan, dia dilarang memandu selama empat minggu dan hanya dapat memperoleh lesennya semula selepas 'latihan semula'.

Remaja terbabit juga didenda 200 euro (RM953) dan tempoh percubaannya sebagai pemandu baru telah dilanjutkan daripada dua kepada empat tahun. - BBC