BEIJING - CHINA. Gara-gara mempalsukan kematian sendiri untuk mendapat bayaran insurans, seorang lelaki di China kehilangan isteri dan dua anaknya yang dilaporkan membunuh diri.

Lelaki berusia 34 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas keretanya ditemui di dalam sungai walaupun 'mayatnya' gagal ditemui.

Menurut polis, He bagaimanapun tidak memaklumkan kepada isterinya tentang rancangan tersebut dan wanita itu percaya suaminya benar-benar meninggal dunia.

Dia yang sedih atas kehilangan suaminya itu nekad terjun ke dalam kolam bersama anak-anaknya selepas memuat naik nota bunuh diri di internet.

He kemudiannya menyerah diri kepada polis di daerah Xinhua, wilayah Hunan pada Jumaat lalu.

Dia didakwa atas tuduhan penipuan insurans dan kerosakan harta benda yang disengajakan.

Awal September lalu, He membeli pelan insurans bernilai 1 juta yuan (RM600,000) tanpa pengetahuan isterinya dan menamakan wanita itu sebagai benefisiari.

Dia turut meminjam kereta untuk memalsukan kematiannya dalam kemalangan itu pada 19 September lalu.

Pada Khamis lalu, mayat isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun telah ditemui di dalam kolam berhampiran rumah mereka. - BBC