BANGKOK - THAILAND. Dua penyelam Britain yang menjumpai dan terlibat dalam operasi menyelamat 12 ahli pasukan bola sepak 'Wild Boars' dan jurulatih mereka yang terperangkap lebih dua minggu dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, diberi penghormatan oleh pihak berkuasa Thailand.

Jason Mallinson, 50, dan John Volanthen, 47, yang jelas kepenatan, tiba di lapangan terbang Bangkok malam tadi, disambut tepuk sorak orang ramai yang mengucapkan terima kasih atas jasa mereka menyelamatkan mangsa.

"Kami amat lega dapat mengeluarkan mereka semua dengan selamat," kata Mallinson sambil berharap mereka akan lebih berhati-hati di masa depan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Usaha bawa keluar mangsa terperangkap bermula]

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak terakhir dan jurulatih berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat budak bola berakhir ]

Sekumpulan menteri kerajaan diketuai Menteri Pengankutan, Arkhom Termpittayapaisith, turut hadir bagi menyampaikan sijil penghargaan dan pingat kepada dua penyelam berkenaan.

"Ini sebagai tanda penghargaan kami, Perdana Menteri meminta kami menyampaikannya kepada anda.

''Terima kasih atas usaha anda berdua, ia merupakan misi yang hebat dan kami sangat menghargainya.

"Anda berdua sentiasa dialu-alukan di sini, bila-bila masa, anda mempunyai ramai teman di sini," ujar Arkhom sambil menambah penghargaan tersebut juga termasuk penerbangan percuma seumur hidup ke Thailand buat dua hero Tham Luang berkenaan.

Mallinson dan Volanthen memilih untuk pulang ke Britain walaupun seluruh negara sedang bergembira menyambut kejayaan misi menyelamat yang menarik perhatian seluruh dunia itu.

Mereka turut menolak gelaran hero yang diberikan sambil menegaskan usaha mereka adalah semata-mata untuk membawa keluar mangsa dengan selamat.

"Kami bukan hero, ia merupakan misi yang sukar namun kami berjaya, kami berasa lega ia telah berakhir dan kini masa untuk pulang," ujar Mallinson.

Sementara itu, terdapat sumber mengatakan, kedua-dua penyelam terbabit akan turut diberikan penghargaan di Istana Buckingham. - Dailymail