ABU DHABI - EMERIAH ARAB BERSATU. Harimau kumbang, harimau dan singa  adalah antara haiwan buas yang dilarang disimpan sebagai binatang peliharaan selepas udang-undang baharu dikuatkuasakan.

Mereka yang ditangkap berbuat demikian boleh didenda sehingga 700,000 dirham (RM852,224.50) atau penjara sehingga enam bulan.

Jika haiwan-haiwan tersebut dilihat bersiar-siar bersama tuannya, haiwan tersebut akan dirampas.

Menurut laporan CNN, kerajaan akhir meluluskan undang-undang tersebut selepas menghadapi tekanan daripada kumpulan kebajikan haiwan.

Undang-undang tersebut yang berkuatkuasa serta-merta juga memaksa individu yang memiliki haiwan tersebut menyerahkan ia kepada pihak berkuasa.

Sebelum ini, membela dan mempamerkan haiwan buas yang disimpan sebagai haiwan peliharaan dianggap sebagai simbol kekayaan melampau di UAE.

Pemilik membawa haiwan buas mereka bersiar-siar di tepi pantai juga bukanlah satu pemandangan yang luar biasa sebelum ini.

Putera Mahkota Dubai sendiri, Hamdan bin Mohammed Al Maktoum memuatnaik foto dirinya bersama anak singa dan singa di laman Instagram.

Semua jenis haiwan buas tersebut juga dianggap dirampas dari habitat liar mereka secara paksa dan diseludup masuk ke dalam UAE.

Laporan mengatakan anak harimau dijual dengan harga mencecah RM13,414.50 seekor dan singa putih berharga RM223,575.00 di pasaran gelap.