YANGON - MYANMAR. Kerajaan Myanmar memaklumkan ia hanya bersedia menerima kurang daripada 400 daripada 8,000 pelarian Rohingya yang secara sukarela pulang semula ke negara itu.

Setiausaha Tetap untuk Hal Ehwal Luar, U Myint Thu berkata, mereka mendapati hanya 374 layak dihantar pulang walaupun Bangladesh telah memberi senarai ribuan nama.

Yangon turut menyalahkan Dhaka atas kelambatan proses itu selain menuduh negara jirannya itu mengemukakan maklumat 'tidak lengkap' dan tiga nama dalam senarai tersebut adalah 'pengganas'.   

"Kumpulan pertama penghantaran semula itu hanya terdiri daripada 374 orang," katanya di Naypidaw tanpa memberikan garis masa untuk proses itu.

Jelasnya, etnik Rohingya boleh kembali jika ia adalah masa yang sesuai buat mereka.

Difahamkan, kumpulan pertama pelarian Rohingya itu akan dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing selepas ditempatkan di kem sementara selama kira-kira sebulan yang didakwa sebagai 'penjara terbuka' oleh kumpulan pemerhati hak asasi manusia.

Ketika di sidang media itu, Myanmar sekali lagi menafikan tuduhan ia melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik di Rakhine susulan laporan PBB yang mengecam perbuatan disifatkan sebagai 'jenayah di bawah undang-undang antarabangsa' diterbitkan pada Selasa lalu.  

Sementara itu, Pesuruhjaya Pemulihan dan Bantuan Pelarian Bangladesh, Abul Kalam berkata, mereka masih berharap Myanmar membawa pulang kesemua pelarian Rohingya yang berlindung di negara tersebut.

"Saya masih belum menerima sebarang pengesahan tentang perkara itu. Sebelum ini, persetujuan dicapai melalui mesyuarat awal antara kedua-dua negara adalah untuk menerima 300 pelarian Rohingya sehari di bawah proses tersebut," jelasnya.

Ujarnya lagi, isu keselamatan masih menjadi mencetuskan kebimbangan utama kerana mereka tidak tahu lokasi sebenar kumpulan pertama itu akan ditempatkan. - The Guardian