ROM - ITALI . Hampir 1,000 pelarian yang diselamatkan di perairan Mediterranean dekat luar pantai Libya sejak beberapa hari lalu tiba di Itali, kelmarin.

Menurut laporan media tempatan, lebih 330 pencari suaka diselamatkan pengawal pantai Rom dan kapal Eropah lain yang turun di pelabuhan Sicily.

Manakala, lebih 450 lagi dijangka tiba di Augusta selepas diselamatkan kapal Aquarius yang dikendalikan badan amal SOS Mediterranean bersama Doktor Tanpa Sempadan (MSF).

"Testimoni yang dikumpul menunjukkan graviti melampau untuk pendatang yang tidak mempunyai alternatif lain yang lebih selamat. Mereka terpaksa membahayakan nyawa di laut untuk melarikan diri dari 'neraka' Libya.

"Hari ini, keutamaan mutlak adalah usaha menyelamatkan migran di laut dan seterusnya membawa ke tempat selamat di mana mereka akan dilindungi serta hak asasi manusia mereka akan dihormati," jelas presiden SOS Mediterranean, Francis Vallat. - Press TV