BANGKOK - THAILAND. Gua Tham Luang di Chiang Rai akan dipulihkan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka berakhir pada Selasa,  lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Ketua Pengarah Taman Negara, Songtham Suksawang, berkata pegawainya sedang melakukan tinjauan ke atas persekitaran fizikal gua Tham Luang yang terjejas akibat misi menyelamat itu.

Semasa operasi menyelamat berlangsung selama seminggu, kira-kira 1,000 pegawai dan sukarelawan terdiri daripada rakyat Thailand serta warga asing telah bergilir-gilir bertugas sepanjang masa dalam percubaan mereka untuk mengeluarkan kumpulan 13 orang yang terperangkap itu.

Air telaga dan lubang digali manakala aliran air semula jadi telah dialihkan daripada mengalir ke dalam gua.

Pam air, sistem elektrik dan peralatan berat lain turut digunakan.

Justeru, Songtham berkata pegawai taman akan memulihkan gua itu kepada keadaan biasanya namun ia mengambil sedikit masa, sekurang-kurangnya selepas musim hujan berlalu.

Menyentuh keselamatan pengunjung gua itu pada masa depan, beliau berkata kamera pengawasan akan dipasang dan sebuah pusat perkhidmatan pelancong akan diwujudkan.

Sebuah tugu akan dibina di gua itu bagi memperingati keberanian Saman Kunan, bekas anggota Tentera Laut unit SEAL yang terkorban ketika operasi menyelamat.

Saman maut ketika menyelam untuk menghantar tangki oksigen ke dalam gua itu. Pengorbanan beliau akan sentiasa dikenang. - Bernama