NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. PBB kelmarin menggesa Myanmar memberi akses kepada agensi bantuan ke struktur baharu dibina berhampiran sempadan Bangladesh yang akan menempatkan puluhan ribu pelarian Rohingya dihantar pulang dari Dhaka.

Kem pelarian Taung Pyo Letwe dikelilingi pagar kawat berduri tersebut dibina di kawasan berbatu luar bandar Maungdaw di Rakhine selepas perjanjian dicapai antara Bangladesh dan Myanmar berhubung penghantaran pulang golongan terbabit.

Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan mendesak Yangon memberikan akses kemanusiaan di negeri Rakhine dan mewujudkan penyelesaian yang kekal dan berpanjangan.

Difahamkan, kerajaan Myanmar masih mengenakan sekatan akses secara berterusan terhadap agensi bantuan, media dan pemerhati bebas lain di negara itu.  

Sementara itu, Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) memaklumkan perlindungan yang diperlukan untuk pelarian Rohingya tersebut juga masih samar-samar.

"Rundingan penghantaran pulang itu jelas 'pramatang' jika pihak terlibat tidak dapat memberi jaminan keselamatan ke atas kanak-kanak Rohingya yang terdedah kepada pelbagai bahaya," kata Timbalan Eksekutif, Justin Forsyth. - Press TV