NEW DELHI - INDIA. Kumpulan pelampau menjanjikan ganjaran 10 juta rupee (RM637,145.027) kepada mereka yang berjaya membakar seorang pelakon wanita hidup-hidup.

Menurut laporan Malaysian Digest, kumpulan Akhil Bhartiya Kshatriya Mahasabha (ABKM) mendedahkan ganjaran tersebut dalam satu memorandum kepada majistret daerah mengenai filem 'Padmavati'.

Kumpulan tersebut lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap lakonan Deepika Padukone yang membawa watak seorang ratu Hindu yang jatuh cinta kepada pemimpin beragama Islam, Alauddin Khilji yang dilakonkan oleh Ranveer Singh.

"Deepika patut tahu bagaimana rasanya dibakar hidup-hidup. Dia tidak pernah tahu pengorbanan ratu itu. Sesiapa yang membakarnya hidup-hidup akan diberikan 10 juta rupee," kata pemimpin kumpulan pemuda AKBM, Bhuvneshwar Singh.

Anggota-anggota ABKM juga membuat protes jalan dan membakar ratusan patung pengarah dan pelakon filem berkenaan hujung minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis, Rohit Singh Sahjawan mengatakan pihaknya telah menerima laporan dan pihak berkuasa sedang menyiasat perkara tersebut.

Sementara itu, ayah Deepika, Prakash Padukone mengesahkan kediaman keluarganya kini dikawal polis untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menteri Dalam Negeri, Ramalinga Reddy mengecam tindakan kumpulan pelampau berkenaan.

"Mengadakan protes dan mengeluarkan kenyataan yang melanggar undang-undang hanya membuktikan tahap mentaliti mereka.

"Ia bukan sahaja ancaman kepada kebebasan berkarya, malah menggalakkan kegiatan jenayah," kata Ramalinga dipetik laporan India Times.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :