FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Tindakan polis menahan individu yang memandu melebihi had laju adalah perkara biasa, namun apabila seorang lelaki bernama Don Swartz ditahan, kisahnya menjadi tular di laman sosial.

Apa yang menjadikan penahanan Swartz unik adalah lelaki tersebut berpakaian seperti watak kartun popular Fred Flintstone.

Kereta yang dipandu Swartz turut diubah suai menjadi seperti kenderaan yang digunakan Flintstone dalam siri kartun tersebut.

Malah, ketika ditahan pada 4 November lalu, Swartz sedang melalui jalan di kawasan dikenali sebagai Meadow Bedrock Pointe Subdivision yang terletak di Wesley Chapel. Bedrock adalah nama kawasan yang menjadi tempat tinggal Flintstone.

Pejabat Sherif Pasco County yang tertarik dengan insiden itu memuat naik beberapa keping gambar 'Flintstone' ke laman Facebook mereka dan mendapat sejumlah 2,400 'like' dan lebih 1,000 'share'.

Bagaimanapun, 'Flintstone' terpaksa ditahan apabila 'berkelakuan tidak terkawal' setelah diberikan saman oleh polis.

Dia hadir ke mahkamah dan telah dibebaskan, namun kenderaannya terpaksa dirampas. - Philippine Daily Inquirer