WINDHOEK - NAMIBIA. Foto-foto seekor singa betina di sisi seekor anak kijang yang tular membuatkan ramai pelayar laman sosial tertanya-tanya mengenai situasi berkenaan.

Dailymail mengatakan foto-foto tersebut dirakam Gordon Donovan di Taman Negara Etosha di Namibia.

Berasal dari New York, Amerika Syarikat, Donovan mengatakan siri foto tersebut adalah menakjubkan disebabkan situasi singa berkenaan sebelum ia dilihat bermain dengan anak kijang tersebut.

Kata Donovan, anak-anak singa berkenaan sebelum ini telah dibunuh oleh seekor singa jantan sebelum ini.

Selepas menemui anak kijang berkenaan, singa betina tersebut menjaganya bagaikan zuriatnya sendiri.

Singa tersebut dirakam membersihkan anak kijang tersebut, selain mengajarnya berdiri.

Tak cukup dengan itu, singa berkenaan juga melindungi 'anaknya' daripada dimakan oleh dua ekor singa betina lain yang sedang bunting dan kelaparan.

"Inilah sebabnya saya datang ke Afrika, untuk rakaman momen sebegini," kata Donovan.