YUNNA - CHINA. Foto seorang murid berusia lapan tahun yang digelar 'budak ais' oleh pelayar laman sosial menimbulkan persoalan mengenai kemiskinan melibatkan kanak-kanak.

Foto tersebut menunjukkan kanak-kanak terbabit dengan rambut penuh ais akibat cuaca sejuk mula tular Isnin lalu.

BBC mengatakan, orang ramai bersimpati dengan mangsa yang hanya dikenali sebagai Little Wang yang didakwa berasal dari keluarga miskin.

Media tempatan melaporkan Little Wang berjalan sejauh 4.5 kilometer dalam cuaca sejuk -9 darjah celcius semata-mata untuk ke sekolah.

Foto telah dikongsi berpuluh ribu pelayar berkenaan juga menunjukkan Little Wang diketawakan oleh rakan sebaya.

Tangan Little Wang. - Foto sumber The Paper- Foto sumber EPA

Satu foto lain menunjukkan tangan Little Wang yang kotor dan membengkak.

Rupa-rupanya, foto-foto berkenaan diambil oleh guru Little Wang pada 8 Januari lalu dan dihantar ke guru besar sekolah untuk perhatian.

Kisah Little Wang yang tular menarik reaksi berbeza pelayar laman sosial.

"Muka dia yang kecil habis merah sebab sejuk, pakai pakaian nipis pula tu," kata seorang pelayar.

"Apa yang kerajaan tempatan Yunnan akan lakukan untuk basmi keadaan sebegini?" marah seorang pelayar lain.