NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Facebook didakwa memainkan peranan besar dalam menyebarkan kebencian terhadap etnik Rohingya di Myanmar, kata pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin yang menyiasat kemungkinan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam tersebut.

Terdahulu, Facebook pernah berkata akan mengeluarkan sebarang ucapan kebencian di Myanmar daripada platformnya dan menyekat mereka yang berkongsi ucapan sedemikian secara berterusan.

Pengerusi Misi Mencari Fakta PBB untuk Myanmar, Marzuki Darusman berkata, media sosial memainkan peranan besar di Myanmar.

"Platform tersebut menyumbang kepada tahap keperitan, penentangan dan konflik dalam masyarakat. Ucapan kebencian pasti merupakan sebahagian daripadanya,” katanya.

Sementara itu, penyiasat PBB, Yanghee Lee berkata Facebook merupakan sebahagian besar daripada kehidupan masyarakat di Yangon, malah kerajaan turut menggunakannya untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

“Media sosial digunakan untuk menyampaikan mesej awam tetapi kita juga tahu komuniti Buddha ultra nasionalis mempunyai akaun Facebook mereka sendiri yang menghasut keganasan dan kebencian terhadap Rohingya dan etnik minoriti lain,” katanya.

Sabtu lalu, sami anti-Islam, Wirathu yang mendakwa dasarnya tidak ada kena mengena dengan keganasan di Rakhine muncul semula di khalayak umum selepas dilarang berucap selama setahun. - ABC News