KUTUPALONG - BANGLADESH. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan kekejaman terhadap pelarian Rohingya sebagai tidak terbayang, ketika lawatan ke kem yang menempatkan jutaan etnik minoriti itu di Bangladesh hari ini.

Guterres berkata, situasi pelarian berkenaan umpama 'mimpi ngeri kemanusiaan dan hak asasi'.

Etnik Rohingya menjadi pelarian selepas melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar pada Ogos tahun lalu yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.

"Saya baharu saja mendengar kisah pembunuhan dan rogol pelarian Rohingya dari Myanmar di Cox's Bazar, Bangladesh. Mereka mahu keadilan dan keselamatan pulang ke tanah air.

"Etnik Rohingya adalah etnik paling tertindas dan komuniti paling lemah di dunia," katanya di Twitter.

Guterres yang ditemani ketua Bank Dunia, Jim Yong Kim berkata, lawatan bertujuan menunjukkan perpaduan dengan pelarian Rohingya dan komuniti yang menyokong mereka.

"Sifat kasih sayang dan keikhlasan penduduk Bangladesh adalah ciri kemanusiaan terbaik dan berjaya menyelamatkan ribuan nyawa," katanya. - AFP