TEHERAN - Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di sepanjang sempadan Iran-Pakistan, semalam.

Agensi berita tempatan, IRNA dipetik sebagai berkata mangsa terdiri daripada tiga anggota keselamatan Iran dan tiga pengganas.

“Pada jam 1.30 pagi tadi (waktu tempatan), sekumpulan pengganas dari Pakistan menyerang pusat pemeriksaan polis di kawasan sempadan Mirjaveh, kira-kira 75 kilometer di tenggara Zahedan, iaitu ibu negara wilayah Sistan-Baluchistan,” lapor IRNA hari ini

Sebelum ini, Iran mengkritik Pakistan kerana menyokong kumpulan militan Jaish al-Adl, yang dituduh mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dan melancarkan pelbagai serangan di Sistan-Baluchistan.

Dari tahun 2005 hingga 2010 rantau Sistan-Baluchistan menyaksikan pemberontakan yang berpanjangan oleh kumpulan militan Jundallah, meskipun pemimpinnya dibunuh pada pertengahan 2010. - AFP