AYUTTHAYA - THAILAND. Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sebuah terusan di daerah Bang Pa-in, awal pagi tadi.

Polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam tiga pagi (waktu tempatan).

Penyiasat dari balai polis Phra In-Racha, Pornnarin Pluangkrathok berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas semasa melalui jambatan yang menghubungkan laluan Phahon Yothin.

"Kenderaan dinaiki mangsa dipandu laju, keadaan jalan yang licin menyebabkan ia terbabas.

"Mangsa yang mati terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita," kata Pornnarin.

Katanya lagi, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu. - Bangkok Post