KRISIS air global menjadi antara isu yang membimbangkan selepas Cape Town sedang menghitung hari berikutan bandar di Afrika Selatan itu dijangka kehabisan air pada 4 Jun depan.

Sumber air tawar di seluruh dunia kini semakin meruncing kerana pembebasan gas karbon daripada bahan api fosil telah memanaskan permukaan bumi dan mempengaruhi hujan. Kebanyakan sungai utama dialihkan atau dieksploitasi tidak lagi mengalir ke laut selain bentuk pencemaran lain yang menyebabkan air tercemar.

Minggu lalu, Cape Town turut mengisytiharkan 'bencana kebangsaan' selepas kemarau melanda bandar tersebut hingga menyebabkan penggunaan air penduduk dihadkan 50 liter sehari.

Cape Town dan kawasan sekitarnya mengalami kemarau yang teruk dengan taburan hujan rendah dan keadaan sejuk kering bukan pada musimnya selama tiga tahun yang menyebabkan purata paras air empangan berada pada paras suku.

Takungan air kawasan metro yang mempunyai populasi 3.7 juta penduduk itu hanya mempunyai tempoh kurang daripada 90 hari.

Kiraan detik Day Zero atau Hari Penutupan Paip Air telah bermula kerana paras takungan air tersebut akan menurun di bawah 13.5 peratus hingga memaksa bandar tersebut menutup semua paip.

Hari Penutupan Paip Air itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 3.7 juta penduduk di Cape Town.

Ketika itu, semua penduduk perlu mendapatkan bekalan air di 200 paip disediakan di beberapa jalan untuk mendapatkan bekalan air.

Jika taburan hujan tidak mencukupi apabila musim sejuk tiba, Cape Town hanya mempunyai tempoh singkat sebelum Day Zero tiba.

Menurut Perdana Menteri Western Cape, Helen Zille, perkara itu telah diramalkan saintis iklim, namun ia tiba lebih awal daripada yang dijangka.

"Perubahan iklim sepatutnya berlaku pada 2025. Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan mendakwa model mereka tidak lagi berfungsi," jelasnya.

Pakar meteorologi CNN, Derek Van Dam berkata, kawasan luas tekanan tinggi yang terletak di Lautan Atlantik bertindak kepada penghalang sistem cuaca.

"Sistem tekanan tinggi itu berkembang dan ia menolak taburan hujan dari Western Cape. Kawasan bertekanan tinggi itu telah menjadi sangat luar biasa sejak tiga tahun lalu. Ia menyebabkan kemarau selama tiga tahun termasuk dua tahun paling kering pada 2015 dan 2017.

"Peningkatan kekerapan kemarau itu adalah akibat daripada pemanasan global," jelasnya lagi.   

Cape Town kini berusaha untuk menaik taraf sistem air termasuk membina projek penyahgaram, akuifer (bahagian bawah tanah terdiri daripada batu kerikil mengandungi air) dan kitar semula air untuk membantu menjimatkan bekalan semasa.

Takungan air di negara di Western Cape kini berada pada paras kritikal.

Data dikeluarkan pada minggu lalu, hanya 55 peratus penduduk bandar tersebut mematuhi had air yang diperuntukkan kepada mereka pada setiap hari.    

Menurut laporan penilaian kelima panel antara kerajaan mengenai Perubahan Iklim, model iklim jangka panjang menunjukkan aliran trend kekeringan ketara akan berterusan di bahagian barat Afrika Selatan yang akan mengurangkan taburan hujan tahunan sehingga 40 peratus.  

Di seluruh dunia, krisis air telah berkembang secara senyap selama beberapa dekad.

Kajian pada 2014 ke atas 500 bandar besar di seluruh dunia juga menganggarkan satu daripada empat mengalami masalah bekalan air.

Gabungan perubahan iklim, kegiatan manusia dan pertumbuhan penduduk dijangka menyebabkan masalah kekurangan bekalan air menjadi lebih umum di bandar utama serta kawasan luar bandar.     

Sejak 2015, Laporan Risiko Global yang dibentangkan di Forum Ekonomi Dunia secara konsisten menyenaraikan krisis air sebagai antara ancaman global dengan impak besar melangkaui bencana alam, migrasi besar-besaran dan serangan siber.

Info:

Bagi setiap tahap pemanasan global, kira-kira tujuh peratus daripada penduduk dunia atau separuh bilion orang akan mengalami kekurangan 20 peratus bekalan air tawar.

Menjelang 2030, dunia bakal berdepan defisit air sebanyak 40 peratus akibat perubahan iklim, pertumbuhan penduduk dan aktiviti manusia.

Pemanasan global jadi punca?

"Air bawah tanah sedang dipam keluar pada kadar tidak menentu di kawasan mempunyai penduduk padat didiami lebih 600 juta penduduk di India, Pakistan dan Bangladesh," kata Prof Emeritus di Universiti Trent di Ontario, Graham Cogley.

Kajian terbaharu mendapati lebih separuh daripada air di lembangan sama tidak boleh diminum dan tidak boleh digunakan kerana kadar garam serta arsenik yang tinggi.

Air bawah tanah tersebut menyediakan air minuman kepada separuh daripada penduduk dan menyumbang lebih 40 peratus untuk kegunaan pengairan.       

Tetapi, akuifer bawah tanah tidak menakung air dengan cepat seperti fungsi takungan selepas hujan lebat kerana ia mengambil masa selama beberapa abad yang menjadikannya sumber tidak boleh diperbaharui pada skala manusia.

Bekalan air bawah tanah yang semakin berkurangan boleh menyebabkan kawasan menjadi mendap selain air masin meresap ke dalam air bawah tanah di kawasan pesisir pantai. Puluhan bandar mega, kaya dan miskin seperti Jakarta, Mexico City, Tokyo dan bandar lain di China termasuk Tianjin, Beijing dan Shanghai dilaporkan semakin tenggelam kerana penggunaan air bawah tanah menyebabkan negara terbabit mendap sehingga beberapa meter sejak seabad lalu.      

Pakar pengurusan air, Arjen Hoekstra berpendapat keadaan itu berpunca daripada pemanasan global yang sudah menjadi pengganda ancaman.

Fenomena tersebut juga mengubah angin dan kelembapan seterusnya mempengaruhi pola hujan.   

Pada masa sama, permintaan air global dijangka meningkat kepada 55 peratus pada pertengahan abad yang didorong oleh pertumbuhan bandar di negara membangun.     

"Perubahan iklim yang disebabkan oleh kegiatan manusia mendorong perubahan dalam permintaan sumber air. Perubahan iklim yang semakin teruk akan memburukkan lagi sumber air," jelasnya.     

Prospek kekurangan bekalan air turut menghantui bandar lain di kawasan iklim panas seperti California yang baru pulih daripada kemarau berpanjangan selama lima tahun yang disifatkan rekod paling buruk.

Pada 2014-15, 12 juta penduduk Sao Paulo hampir berdepan Day Zero manakala Beijing, New Delhi, Mexico City dan Las Vegas adalah antara bandar yang menghadapi risiko bekalan air yang besar selama sedekad.

Menurut Majlis Air Dunia, dua pertiga penduduk Afrika juga hidup di bawah defisit air selama sedekad yang mana hanya lima peratus daripada kawasan pertanian diairi, sekali gus meninggalkan penduduknya terdedah kepada perubahan pola cuaca.      

Bagi Cape Town, keadaan kemarau menjadi perkara biasa pada masa akan datang.