PATTANI – Dua anggota keselamatan Thailand maut manakala empat lain cedera dalam serangan hendap oleh individu tidak dikenali di Kampung Donna, Nongchik di wilayah bergolak Pattani di selatan Thailand.

Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Nongchik Kapt Sarawut Nucharan mengesahkan kejadian itu berlaku 10 malam (waktu tempatan) semalam ketika anggota Renjer terbabit dalam tugas meronda menggunakan tiga buah motosikal.

"Ketika melalui satu kawasan gelap, mereka telah ditembak bertubi-tubi oleh individu menggunakan pelbagai senjata. Dua anggota maut di tempat kejadian akibat tembakan di bahagian badan dan kepala," katanya hari ini.

Keempat-empat mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital tentera di Kem Ingkhayuthaborihan, yang terletak berhampiran.

Ketua Tentera di Pattani Mej Jen Jatuporn Kalampasut telah mengerah ratusan anggota tentera ke lokasi kejadian untuk mengepung kawasan terbabit dan memburu individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian serangan itu.

Konflik bersenjata di wilayah-wilayah selatan Thailand telah mengorbankan kira-kira 6,500 nyawa sejak ia bermula pada 2004, menurut badan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW) yang memantau konflik itu.- Bernama