YANGON – MYANMAR. Diplomat veteran Amerika Syarikat (AS), Bill Richardson meletak jawatan dari sebuah panel antarabangsa yang dibentuk Myanmar bagi menangani krisis Rohingya.

Beliau mengambil langkah itu kerana menganggap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak memberi contoh kepimpinan yang baik.

Richardson yang merupakan bekas anggota kabinet pemerintahan Presiden Bill Clinton, meletak jawatan dari 10 anggota lembaga penasihat selepas melakukan kunjungan ke barat negeri Rakhine, di mana di sana terdapat 700,000 pelarian Islam Rohingya.

Beliau mendakwa, tidak boleh meneruskan tugasnya ketika mengetahui jawatankuasa berkenaan mungkin hanya diwujudkan untuk ‘cuci tangan’ dalam mencari punca kepada tindakan etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Pada masa sama, beliau mengaku terlibat pertengkaran dengan Suu Kyi serta ahli jawatankuasa ketika pertemuan Isnin lalu, kerana membangkitkan kes dua wartawan Myanmar yang dibicarakan atas dakwaan melanggar Akta Rahsia Negara.

Bekas gabenor New Mexico itu mendakwa, Suu Kyi amat marah ketika hal dua wartawan berkenaan dibangkitkan sambil memberitahu kes berkenaan bukan dibawah bidang kuasa jawatankuasa terbabit.

Wartawan Reuters, Wa Lone (31) dan Kyaw Soe Oo (27) ditugaskan untuk membuat liputan krisis di  Rakhine, di mana 688,000 etnik Rohingya telah melarikan diri akibat kekerasan tentera sejak Ogos tahun lalu.

Dua wartawan tersebut ditahan pada 12 Disember 2017 setelah mereka dipanggil polis untuk makan malam di Yangon.

Pemerintah Myanmar menyebut polis menahan mereka kerana menyimpan dokumen rahsia yang berkaitan dengan situasi di Rakhine.

Tentera Myanmar sebelum ini dituduh melakukan pembunuhan, pemerkosaan dan membakar rumah penduduk etnik Rohingya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk kempen ketenteraan Myanmar itu sebagai pembersihan etnik, namun Myanmar menafikannya. – Reuters