NEW DELHI - INDIA. Dua pegawai polis di Noida digantung kerja kerana didakwa mengabaikan etika kod pakaian ketika mereka menahan sebuah kenderaan yang membawa ketua polis Uttar Pradesh dalam satu sekatan jalan raya kelmarin.

Semasa ditahan, Ketua Pengarah Polis (DGP) OP Singh sedang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di New Delhi.

Difahamkan, inspektor dan konstabel terbabit dari Balai Polis Sektor 39 tidak menunjukkan sikap yang baik ketika menjalankan tugas.

"Mereka sangat santai dan tidak memakai topi semasa menjalankan tugas.

"Lebih parah mereka tidak mengenali individu berada di dalam kereta yang ditahan, kata Penguasa Kanan Polis, Ajay Pal Sharma.

Tambah Sharma, tindakan gantung kerja itu disebabkan masalah disiplin dan bukannya berpunca dari masalah lain.

"Dua pegawai itu pada mulanya bertengkar dengan OP Singh. Hanya selepas beliau memperkenalkan diri baru mereka sedar individu yang ditahan itu sebenarnya ketua polis Uttar Pradesh," katanya. - NDTV