ISLAMABAD - PAKISTAN.  Seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan isterinya dijatuhi hukuman setahun penjara, selepas disabit bersalah mendera kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang juga merupakan pembantu rumah mereka.   

Hakim Aamer Farooq dari Mahkamah Tinggi Islamabad semalam turut memerintahkan Raja Khurram Ali Khan dan isterinya Maheen Zafar membayar denda berjumlah 100,000 rupee (RM3,357).

Kes penderaan itu terbongkar apabila polis menyelamatkan mangsa pada 2016 selepas menerima aduan daripada jiran tertuduh.

Pada mulanya, ibu bapa mangsa menarik semula laporan polis dan memaafkan kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung yang bertindak sebagai penyelia tribunal mengarahkan supaya kes berkenaan disemak semula.

Pendakwa raya Tariq Jahangiri berkata keputusan itu dicapai selepas pengundian yang berlangsung selama setahun. - AP