WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Parti Demokrat di Amerika Syarikat, semalam memfailkan saman ke atas kerajaan Rusia, kempen Presiden Donald Trump dan laman pembocor maklumat, WikiLeaks kerana melakukan konspirasi meluas untuk mempengaruhi Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) mendakwa pegawai kanan kempen jutawan hartanah terbabit telah berkomplot dengan Moscow dan agensi risikan tenteranya untuk menjejaskan calon Demokrat, Hillary Clinton yang membawa kepada kemenangan Trump dengan cara menggodam komputer parti terbabit.

"Ketika kempen pilihan raya tersebut, Kremlin merupakan 'rakan aktif' dalam kempen Trump," kata pengerusinya, Tom Perez.

DNC menyalahkan Rusia kerana menggodam sistem komputernya pada 2015 dan separuh pertama 2016.

Sebelum ini, Trump berulang kali menafikan beliau bersekongkol dengan Rusia manakala Moscow menafikan mereka ada campur tangan dalam pemilihan tersebut.

Tahun lalu, empat agensi risikan AS melaporkan Rusia menaja penggodaman ke atas Parti Demokrat dan tindakan lain ketika kempen terbabit yang memberi 'manfaat' kepada Trump.

Insiden itu turut menyebabkan ribuan emel didedahkan WikiLeaks yang bertujuan memalukan kempen Clinton dan mencetuskan konflik dalam kalangan penyokong parti.

Difahamkan, kebanyakan tuduhan itu dibuat berdasarkan laporan berita dan dokumen undang-undang yang boleh diperoleh secara terbuka tentang pakatan sulit tersebut. - Reuters