BANGKOK - THAILAND. Ahli politik yang memegang jawatan pada zaman pentadbiran kerajaan Abhisit Vejjajiva dan Yingluck Shinawatra serta mempunyai harta melebihi AS$1.4 juta akan diteliti semula, sama ada terdapat sebarang pengelakan cukai, lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik laporan media tempatan.

Bercakap pada persidangan mengenai anti rasuah, Ketua Pejabat Audit Negara Pisit Leelavachiropas berkata, beliau baru-baru ini menghantar dokumen ke Pejabat Hasil meminta jabatan itu menilai semua aset dan kewangan ahli politik pada ketika pentadbiran kedua-dua pemimpin berkenaan jika terdapat sebarang cukai tertunggak.

Terdapat nilai aset lebih 100 bekas pegawai didapati turun naik dan sekurang-kurangnya 60 daripada mereka boleh dikenakan cukai, kata Pisit.    

Jabatan Hasil ditugaskan untuk mengesan pembayaran cukai di bawah pemantauan Pejabat Audit Negara.

Terdahulu, pejabat itu mendesak Jabatan Hasil untuk mengutip cukai terhadap penjualan saham Shin Corp oleh keluarga Thaksin pada 2006.

Selain itu, Pejabat Audit Negara juga akan meneliti rekod cukai ahli perniagaan dan beberapa kumpulan utama yang kaya raya untuk melihat sama ada terdapat sebarang pelanggaran terhadap peraturan berkaitan cukai. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.