SELEBRITI dan pelakon terkenal Hollywood, Chris Evans mengajak seorang mangsa buli yang baru-baru ini tular ke tayangan perdana filem 'Avengers: Infinity War'.

Menurut laporan Deadline, rakaman luahan Keaton Jones mengenai menjadi buli tular di laman sosial dan berpuluh-puluh selebriti menyuarakan rasa simpati mereka.

Antaranya adalah Evans yang popular dengan lakonan adiwira Captain America dalam francais filem Marvel Cinematic Universe (MCU) keluaran Marvel.

"Tabahkan semangat, Keaton. Jangan biar ubah anda menjadi dingin. Sementara si pembuli di sekolah membuat keputusan mereka nak jadi orang yang bagaimana di dunia ini, apa kata anda dan ibu anda datang ke tayangan perdana filem Avengers di Los Angeles (LA) tahun depan?" kata Evans semalam.

Tweet oleh Evans disokong oleh beratus-ratus pelayar laman Twitter.

Kakak mangsa di akaun @Lakyn_Jones mengatakan mangsa menerima pelawaan Evans.

"Saya akan uruskan," kata Evans membalas Tweet kakak mangsa, didakwa merujuk urusan perjalanan dan perbelanjaan mangsa ke Los Angeles nanti.

Luahan penuh air mata Jones dalam sebuah video berdurasi 1 minit dan 14 saat juga mendapat perhatian selebriti hebat lain.

"Saya juga dibuli ketika kecil. Sangkaan awak betul #ItGetsBetter! Anda adalah superhero kegemaran saya," kata Mark Ruffalo yang membawa watak Hulk dalam francais MCU.

"Jangan habiskan masa fikir kenapa pembuli kejam. Mereka adalah orang yang menyedihkan kerana fikir menyakitkan hati orang lain membuatkan mereka rasa mereka bagus," kata Mark Hamill yang membawa watak pahlawan Jedi dalam francais filem paling popular, Star Wars.

Selain selebriti Hollywood, luahan Jones juga mendapat perhatian beberapa atlet kebangsaan Amerika Syarikat (AS), ahli politik, penyanyi, model dan usahawan terkenal.