BEIJING - CHINA. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China mengarahkan siasatan dijalankan ke atas beberapa hotel yang didakwa kotor.

Menurut kementerian, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan pihak berkuasa kebudayaan dan pelancongan tempatan di Shanghai, Beijing dan wilayah Fujian, Jiangxi dan Guizhou menjalankan siasatan.

Menurut Xinhua, berdasarkan gambar dirakamkan di beberapa hotel mewah menunjukkan gelas, sinki, cermin, tuala dan span yang tidak bersih, menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Kebanyakan hotel terbabit adalah sebahagian rantaian hotel antarabangsa,  antaranya Conrad Beijing, Le Royal Meridien Shanghai, Hotel Shangri-La Fuzhou. Beberapa hotel telah mengemukakan permohonan maaf.

Pentadbiran Perbandaran Pelancongan Shanghai berkata siasatan sedang dijalankan dan ia menyokong pihak berkuasa mengenakan tindakan ke atas hotel yang bertanggungjawab.

Sementara, Suruhanjaya Perbandaran Pelancongan Beijing pula telah memanggil pengurus empat hotel berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

Pihak berkuasa kesihatan bandar mengumpul sampel dari premis hotel untuk diuji dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Siasatan sama turut dijalankan di Fuzhou dan Guiyang. - Bernama