BEIJING - CHINA. Media tempatan melaporkan China merancang untuk melancarkan rangkaian satelit yang dapat mengesan setiap terumbu karang dan kapal di perairan pertikaian multilateral di Laut China Selatan.

Sistem itu sedang dibangunkan di Hainan dan ia akan membantu melindungi kedaulatan Beijing.

Tiga satelit optik dijangka memasuki orbit pada separuh kedua tahun 2019 di bawah fasa pertama sistem kumpulan satelit Hainan.

Menurut Sanya Institute of Remote Sensing yang merupakan pertubuhan di sebalik projek yang dibiayai itu, rangkaian pengawasan itu boleh memudahkan usaha tindak balas kecemasan sambil meningkatkan penerokaan dan pembangunan di perairan yang kaya dengan pelbagai sumber itu.

"Setiap terumbu karang dan kapal di Laut China Selatan akan dipantau 'mata angkasa'. Ia juga akan melindungi operasi nelayan dan usaha mencari serta menyelamat," kata Pengarah institut itu dan ketua pereka sistem tersebut, Yang Tianliang.

Kumpulan pertama satelit akan membawa kamera dan teknologi pengenalan automatik untuk membantu pihak berkuasa mengesan kapal termasuk yang beroperasi secara haram.

Difahamkan, sistem pengenalan automatik itu boleh menerima dan memproses isyarat mengenai data kedudukan, laluan serta bacaan tahap kelajuan kapal.

Sebanyak 10 satelit termasuk enam satelit optik dan dua satelit akan dilancarkan secara empat peringkat pada akhir 2021. - Daily Mail