MINGGU lalu, agensi berita Associated Press (AP) mendedahkan penemuan lima kubur besar penduduk Islam Rohingya di barat negeri Rakhine.

Pendedahan itu sekali gus membuktikan berlakunya pembersihan etnik secara sistematik oleh tentera Myanmar di wilayah tersebut.

Maklumat kekejaman tentera Myanmar itu diperoleh selepas AP menjalankan proses temu bual dengan lebih 40 etnik Rohingya di kem pelarian Bangladesh dan panggilan video.

Lagi bukti penindasan etnik Rohingya

Pelarian yang terselamat dari serangan ganas tentera Myanmar Ogos tahun lalu memberitahu kebanyakan mayat yang ditanam di lima kubur besar di barat Rakhine telah dicacatkan.

Mereka mendakwa, wajah dan tangan mereka dicacatkan menggunakan asid bagi menyukarkan proses pengecaman dijalankan.

“Banyak mayat dicampak dalam kubur besar dan bertindih antara satu sama lain.

"Muka mereka ada kesan terbakar. Tapi, saya dapat mengecam beberapa rakan sekampung hanya berdasarkan warna seluar mereka," kata Noor Kadir mangsa yang terselamat daripada serangan Ogos tahun lalu.

Mangsa yang selamat sempat merekodkan kekejaman tentera Myanmar

Menurut Kadir, sebelum serangan dia dan 14 lelaki Rohingya sedang bermain sepak takraw di kampung Gu Dar Pyin.

Katanya, tentera Myanmar menyerbu dan melepaskan tembakan rambang ke arah mereka.

Dalam serangan itu, hanya dia dan dua lagi rakan terselamat selepas berlindung di kawasan semak berhampiran.

"Beberapa hari kemudian, penduduk digemparkan dengan penemuan kubur besar mengandungi penduduk Islam Rohingya yang dibunuh tentera Myanmar.

"Enam rakan sekampung saya antara mayat yang ditemui dalam dua kubur besar itu.

"Saya dapat mengecam mereka berdasarkan pakaian yang dipakai semasa hari serangan," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Myanmar mengakui hanya wujud satu kubur besar mengandungi 10 mayat ‘pengganas’ Rohingya di kampung Inn Din.

Namun mangsa yang terselamat menafikan kenyataan dikeluarkan Yangon, sebaliknya mendedahkan ramai penduduk termasuk kanak-kanak, wanita serta warga tua dibunuh dan mayat mereka dicampak ke dalam api.

Pelarian memberitahu AP mengenai serangan 27 Ogos lalu, di mana lebih 200 askar menyerbu desa Gu Dar Pyin sambil membawa penyodok.

200 tentera, 12 bekas asid

Pelarian yang terselamat mendakwa tentera Myanmar merancang rapi pembunuhan penduduk Rohingya semasa serangan 27 Ogos lalu.

Majoriti yang ditemu bual AP memberitahu tentera terbabit bukan sahaja membawa senjata api tetapi turut membawa senjata berat seperti pelancar roket dan bom tangan.

Malah, tentera juga dilihat membawa senjata tajam seperti parang dan pisau.

Dua hari sebelum serangan itu, tentera Myanmar dilihat membeli 12 bekas asid di kampung berhampiran.

Difahamkan, lebih 200 tentera Myanmar menyerang kampung Gu Dar Pyin pada waktu tengah hari dari arah sebuah perkampungan penduduk Buddha di selatan.

Tentera Myanmar bertindak membakar rumah penduduk Islam Rohingya

"Penduduk Rohingya yang sihat dan boleh berlari laju menyelamatkan diri ke utara menggunakan laluan di sepanjang sungai.

"Terdapat lebih 100 orang bersembunyi di situ. Dari jauh, kami boleh melihat tentera terbabit menggeledah rumah penduduk Islam.

"Tentera terbabit turut disertai berpuluh-puluh penduduk Buddha yang bertopeng.

"Mereka bukan sahaja membakar rumah penduduk, malah menembak siapa sahaja yang cuba melarikan diri," kata petani, Mohammad Sha.

Dikepung, ditembak sebelum disembelih

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang terselamat, Mohammad Younus menceritakan situasi cemas ketika serangan berlaku.

Katanya, sebaik mendengar letupan bom tangan, dia bergegas ke jalan utama sebelum melihat sekumpulan tentera dibantu pelampau Buddha meluru ke arah rumahnya.

Ketika hendak menghubungi ahli keluarga lain, tentera melepaskan dua das tembakan ke arahnya yang satunya mengenai bahagian pinggul.

"Abang sempat menyelamatkan saya. Kami bersembunyi di belukar selama tujuh jam.

"Sepanjang tempoh itu, saya melihat tiga trak membawa puluhan mayat penduduk.

"Kesemua mayat itu ditanam dalam kubur besar dan cetek di sebuah tapak perkuburan berhampiran," ujarnya.

Pemuda berusia 25 tahun itu mendakwa, tentera merancang rapi serangan tersebut kerana mereka seolah-olah tahu pergerakan penduduk.

"Mereka tembak sesiapa sahaja tidak kira wanita atau kanak-kanak.

"Selepas dibunuh, mayat dicampak ke dalam api...perbuatan mereka amat kejam.

"Selepas empat hari serangan, beberapa penduduk yang terselamat memberanikan diri masuk semula ke Gu Dar Pyin," katanya.