CHIANG RAI - THAILAND. Selepas mengharungi pengalaman menyeksakan terperangkap dalam gua selama lebih dua minggu, sekumpulan 12 remaja Thailand dan jurulatih bola sepak mereka kini berada di hospital bagi menjalani rawatan.

Gambar terkini diperolehi dari hospital menunjukkan ahli pasukan bola sepak 'Wild Boars' berehat dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Menurut penyelam yang terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan, kesemua mangsa diberi ubat penenang bagi mengelakkan mereka panik ketika dibawa keluar melalui laluan gua yang gelap, sempit dan berbahaya.

"Sesetengah daripada mereka 'tidur', manakala sesetengah lagi menggerakkan jari, tugas saya adalah mengiringi mereka keluar dari gua," kata bekas anggota tentera laut, Chaiyananta Peeranarong kepada AFP.

Setiap mangsa diikat kepada salah seorang daripada dua penyelam yang ditugaskan membawa mereka keluar manakala pengusung digunakan untuk membawa mereka ke bahagian yang kering.

[ARTIKEL BERKAITAN: Usaha bawa keluar mangsa terperangkap bermula]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat disambung semula]

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja Thai berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat disahkan berjaya dibawa keluar ]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sah lapan berjaya diselamatkan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak terakhir dan jurulatih berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat budak bola berakhir ]

Terdahulu, kesemua 13 mangsa terperangkap di dalam gua Tham Luang berikutan paras air yang naik mendadak susulan hujan lebat yang melanda wilayah Chiang Rai.

Mangsa ditemui kepenatan dan kelaparan pada hari kesembilan oleh dua penyelam Britain setelah terperangkap lebih dua minggu sejak 23 Jun lalu.

Operasi menyelamat selama tiga hari yang menarik perhatian dunia menyaksikan empat mangsa pertama dibawa keluar pada Ahad lalu, diikuti empat lagi pada hari berikutnya dan empat yang terakhir bersama jurulatih mereka berjaya dibawa keluar dengan selamat pada hari Selasa. - BBC