BUKAN mainan untuk kanak-kanak seusianya, tapi budak berusia lima tahun ini selamba bermain dengan reptilia sambil ibu bapanya pula ketawa melihat gelagat anak mereka.

Tambah mengejutkan apabila saiz ular sawa itu 10 kali lebih besar berbanding kanak-kanak itu.

Video yang dirakam di Jawa Barat menunjukkan bagaimana budak itu dibelit haiwan berkenaan, seolah-olah duduk atas kerusi.

Selepas itu, budak lelaki itu dilihat bermain-main bersama ular sawa dengan memegang kepalanya dan cuba menarik haiwan itu.

Sambil tertawa budak lelaki yang pertuturannya masih lagi pelat itu begitu teruja dapat bersama reptilia itu dan tentu sekali tidak sedar dia berdepan bahaya.

Si cilik comel itu bernasib baik kerana ular sawa itu bagaikan tidak kisah dengan cara dia dikendalikan dan selesa bersama 'kawannya; itu.

Pada Jun lalu, seorang wanita ditelan ular sawa sepanjang kira-kira sembilan meter di Indonesia. -mStar