COLOMBO - SRI LANKA. Parlimen Sri Lanka terpaksa ditangguhkan hanya selepas lima minit ia bersidang buat kali pertama, hari ini sejak kekecohan tercetus dalam dewan itu pada minggu lalu.

Kesemua 225 ahli parlimen juga dilaporkan gagal bersetuju dengan jawatankuasa yang ditugaskan untuk membuat agenda perundangan.

Susulan itu, Parlimen akan bersidang semula pada Jumaat ini.

Kelmarin, pihak bertelagah terbabit mengadakan rundingan dengan Maithripala Sirisena untuk berbincang tentang langkah bagi menamatkan krisis tersebut, namun ia gagal mencapai sebarang kata putus.

Pertemuan selama hampir dua jam itu diadakan selepas Ranil Wickremesinghe menegaskan beliau masih perdana menteri yang sah selepas Parlimen mengundi sebanyak dua kali untuk menolak Mahinda Rajapaksa sebagai perdana menteri selepas dilantik Sirisena.

Wickremesinghe menuntut kerajaannya dipulihkan dan turut mencabar Rajapaksa mengemukakan bukti majoriti dalam Parlimen.

Insiden pergaduhan tercetus dalam dewan pada Jumaat lalu selepas penyokong Rajapaksa bertindak membaling perabot dan melemparkan serbuk cili serta projektil sebagai cubaan untuk mengganggu proses undi tidak percaya terhadapnya.

Selepas memecat  Wickremesinghe pada 26 Oktober lalu, Sirisena turut menggantung Parlimen sebelum membubarkannya pada 9 November lalu.

Selama 19 hari, Sri Lanka mempunyai dua perdana menteri, namun Speaker Parlimen, Karu Jayasuriya bahawa beliau tidak mengiktiraf kedua-duanya, sekali gus meninggalkan negara itu tergantung dalam krisis Perlembagaan.

Ketika ini, Colombo tidak mempunyai kerajaan yang sah. - AFP