JAKARTA - Ratusan pasangan Indonesia membanjiri bangunan Kementerian Hal Ehwal Agama untuk menghantar permohonan melangsungkan perkahwinan pada hari ini kerana mempercayai tarikh 11 November 2011 atau 11-11-11 akan membawa kemurahan rezeki.
Agensi berita tempatan, Antara melaporkan, hampir 1,000 pasangan mendaftar untuk melangsungkan perkahwinan mereka di tiga buah bandar berhampiran Jakarta.
Di bandar Bogor, pinggir Jakarta, lima orang imam di kawasan itu, dijangka menikahkan 366 pasangan, hari ini.
Ketua Pejabat Agama Pekanbaru, Darwison berkata, banyak pasangan percaya tarikh hari ini akan membawa tuah dan tambahan pula ia jatuh pada hari suci dalam Islam, iaitu Jumaat.
Menurut Darwison, ratusan majlis perkahwinan, dijadual berlangsung seawal jam 7 pagi sehingga sebelum tengah malam.
“Selalunya pada hari biasa, hanya ada 10 upacara perkahwinan dalam sehari,” menurut Ketua Agama bandar Jambi, Juana, di mana 56 pasangan mendaftar untuk berkahwin hari ini.





