$entry.content.caption.value
TOKYO - Bekas Pengerusi Olympus, Tsuyoshi Kikukawa ditahan berhubung siasatan skandal penipuan akaun terbesar dalam sejarah korporat Jepun, melibatkan dana AS$1.7 bilion (RM8.84 bilion), lapor media Jepun hari ini.
Kikukawa telah meletakkan jawatan Oktober lalu berikutan skandal itu dan pada masa yang sama, Olympus telah menyaman 19 bekas eksekutif dan yang masih berkhidmat.
"Ini adalah kes pertama yang membabitkan skandal dalaman di mana ketuanya sebelum ini amat menitikberatkan peraturan yang formal dan undang-undang," kata pakar ekonomi, Kenneth Cukier dipetik stesen BBC.
Skandal ini terbongkar Oktober lalu selepas bekas Ketua Eksekutifnya, Micheal Woodford mendakwa beliau dipecat kerana mempersoalkan isu tersebut.
Woodford mempersoalkan bayaran fi AS$687 juta (RM3,572 juta) kepada penasihat kewangan semasa pembelian peralatan perubatan daripada syarikat Gyrus.
Walaupun pihak Olympus menafikan tuduhan itu, ia kemudiannya mengakui telah menyembunyikan kehilangan sejumlah wang sejak 20 tahun lalu.
Skandal terbabit menyebabkan saham syarikat menjunam lebih 50 peratus dan seterusnya meletakkan saham Olympus di bawah senarai pemerhatian kerana syarikat itu menangguhkan untuk memfailkan akaun terbaru ekoran skandal.
Menurut penganalisis, perkembangan terkini menunjukkan satu kemenangan kepada para pemegang saham syarikat.





