PARIS - PERANCIS. Ketua pengawal peribadi Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dipecat Jumaat lalu kerana memukul penunjuk perasaan ketika berada di luar waktu bertugas pada Mei lalu, kini disiasat pihak berkuasa.

Menurut pejabat pendakwaan, Alexandre Benalla akan disiasat berhubung keganasan kumpulan, campurtangan dalam perkhidmatan awam, pemakaian lencana polis serta dua kesalahan lain.

Sementara itu, seorang lelaki lain yang berada bersama Benalla turut disiasat bersama-sama dengan tiga pegawai polis yang disyaki memberikan bahan video rasmi kepada Benalla untuk membantu beliau membela diri.

Terdahulu, dalam video yang dikeluarkan akhbar Le Monde, menunjukkan Benalla ketika sambutan Hari Buruh Sedunia di Paris dengan memakai topi keledar rusuhan dan lencana polis semasa tidak bertugas.

Benalla, 26, kemudian dilihat mengheret seorang wanita sebelum memukul seorang penunjuk perasaan lelaki.

Media tempatan turut mengeluarkan video kedua memaparkan kekerasan Benalla terhadap wanita berkenaan.

Lelaki itu pada mulanya digantung kerja selama 15 hari dan dibenarkan menyambung semula tugas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Macron pecat pengawal peribadi]

Bagaimanapun, atas desakan ramai, Macron kemudian mengambil keputusan memecat Benalla, sekaligus mengundang kritikan beberapa pihak yang menyifatkan tindakan presiden Perancis  itu sudah terlambat.

Di Perancis, menjalani siasatan tidak semestinya membawa kepada perbicaraan dan Benalla masih tidak memberi sebarang komen berhubung tuduhan ke atasnya. - Reuters