TACNA - PERU. Seorang bayi malang yang dipercayai dibuang beberapa jam selepas dilahirkan kini bertarung nyawa akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing liar.

Media tempatan melaporkan, bayi itu dikatakan baru sahaja dilahirkan enam ke lapan jam sebelum insiden ngeri itu terjadi.

Bayi yang masih bertali pusat itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka, kepala serta tangan, dan seluruh tubuh kecilnya berlumuran darah.

Pengarah Kesihatan Daerah Tecna, Claudio Ramirez berkata, bayi yang diselamatkan oleh pekerja ambulan itu kini menjalani rawatan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal Hospital Hipolito Unanue sejak semalam.

"Doakanlah bayi ini selamat, 24 jam yang berikutnya amat penting baginya," ujar beliau.

Pihak polis kini sedang menyiasat siapa ibu bapa bayi tersebut namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat. - Dailymail