JIANGSU - CHINA. Seorang warga emas dari timur China ditahan selepas didakwa membunuh anak tunggalnya yang berumur 44 tahun selepas dikatakan tidak tahan menanggung hutang anaknya yang kaki judi.

Zhu Shuigen,67, dituduh melakukan pembunuhan itu ketika anaknya berada di katil kediaman mereka yang terletak di Suzhou, wilayah Jiangsu, sebelum menelefon polis, lapor Changsu Daily.

Laporan tidak menyebut bagaimana suspek membunuh anaknya, namun polis dan kakitangan perubatan yang tiba di lokasi kejadian berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

Jiran memberitahu akhbar, anak lelaki itu tidak berpendidikan tinggi, tinggal bersama ibu bapanya dan tidak bekerja selama beberapa tahun dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan pada satu ketika dalam tempoh masa yang singkat.

Mangsa yang telah berkahwin namun bercerai dua kali itu mempunyai dua orang anak lelaki yang kedua duanya dibesarkan oleh ibu bapanya sehingga remaja.

Dalam pada itu, mangsa juga merupakan seorang kaki judi tegar.

Menurut jiran mangsa, sejak beberapa tahun lalu, pemungut hutang sering menggesa ibu bapa mangsa menyelesaikan hutangnya dan seseorang telah datang ke rumah pada malam sebelum kematian lelaki itu.

Adalah dipercayai bapa lelaki itu telah membayar hampir dua juta yuan untuk membantu anaknya menyelesaikan hutang namun lelaki itu dikatakan sekali lagi telah berhutang lebih daripada satu juta yuan.

China sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan semakin ramai anak muda yang tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian dan terus tinggal bersama ibu-bapa masing-masing.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :