KANO - NIGERIA. Banjir akibat hujan lebat di sempadan Nigeria dengan Niger meragut 49 nyawa manakala 20 lagi hilang, kata perkhidmatan kecemasan hari ini.

Ketua agensi pengurusan kecemasan negeri Katsina, Aminu Waziri berkata, lima kampung di daerah Jibia terjejas apabila sungai melimpah selepas hujan lebat tengah malam kelmarin.

"Kami menemui 49 mayat dari lima kampung dan masih mencari 20 lagi," katanya.

Dua puluh empat mangsa dihanyutkan ke kampung Mada Rumfa dan Kantumi di Niger.

"Kerajaan negeri meluluskan bantuan kepada mangsa terjejas dan kami juga meminta campur tangan agensi pengurusan kecemasan negara," kata Waziri.

Lebih 2,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan berlindung di sekolah di Jibia, manakala 27 yang cedera dibawa ke hospital. - AFP