SEOUL - KOREA SELATAN. Mahkamah di Korea Selatan memutuskan untuk membekukan sekitar ASD$5.62 juta (RM22.3 juta) aset bekas presiden Park Geun-hye yang ditahan berikutan kes rasuah melibatkan agensi pengintipan negara.

Mahkamah Daerah Seoul menerima permohonan pendakwa untuk rampasan harta sementara terhadap kediaman baharu Geun-hye bernilai hampir RM10 juta di selatan ibu negara dan cek berjumlah ASD$2.9 juta (12 juta).

Bekas pemimpin wanita pertama itu juga dilarang membuat transaksi dengan simpanan bank atau hartanya termasuk jualan, pemindahan atau meletakkan harta untuk disewakan sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan untuk tuduhan rasuah yang dihadapi.

Minggu lalu, Geun-hye didakwa atas sogokan tambahan dan kehilangan dana negara selepas menerima lebih RM13 juta dari Perkhidmatan Perisikan negara (NIS) antara Mei 2013 dan Julai 2016.

Sebelum ini, beliau telah didakwa atas 18 pertuduhan berbeza berkaitan skandal rasuah yang turut menyingkirkannya daripada jawatan presiden pada Mac tahun lalu. - Yonhap