SINGAPURA - Sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) pada tahun ini, Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membawa pertubuhan serantau itu ke hadapan, demikian ikrar Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Singapura telah  memilih dua idea iaitu "daya tahan" dan "inovasi" sebagai tema selepas mengambil alih jawatan tersebut.

“Kami  berharap dalam tempoh Singapura sebagai Pengerusi, kami akan memulakan beberapa projek Asean yang akan mengukuhkan daya tahan kita terhadap ancaman seperti keganasan, jenayah siber dan perubahan iklim.

“Kami turut berharap dapat  menggalakkan skim yang memanfaatkan inovasi, membantu negara Asean menggunakan teknologi, untuk menjadikan kita komuniti yang lebih dinamik dan saling berhubung.

“Melalui semua ini, kami menyasarkan untuk menjadikan Asean, rantau yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang,” katanya.

Hsien Loong berkata demikian dalam ucapan pada pelancaran Singapura sebagai pengerusi Asean 2018 di karnival Experience Asean di Bishan-Ang Mo Kio Park, Jumaat.

Ucapan beliau dikeluarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri Singapura lewat semalam.

“Kita mempunyai agenda yang penuh di hadapan. Kita akan bekerjasama dengan negara anggota lain, dan dengan rakan dialog Asean, untuk menjadikan 2018 sebagai tahun yang bermakna bagi Asean," kata Hsien Loong.

Menurut Hsien Loong, Asean bukan hanya sebagai pengukuh keselamatan bagi rantau ini.

“Kita telah membina komuniti  yang turut bekerjasama dalam isu ekonomi dan sosial. Kita menyokong antara satu sama lain melalui tempoh yang sukar, misalnya, Krisis Kewangan Asia, wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan bencana alam.

“Kita bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan meningkatkan kehidupan rakyat kita," katanya.

Secara bersama, Hsien Loong berkata, 10 negara membentuk kumpulan yang dinamik dan menarik.

Komuniti ekonomi Asean telah membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, katanya.

"Syarikat Singapura telah mendapat manfaatnya. Dengan Kawasan Perdagangan Bebas Asean, syarikat Singapura boleh mencapai pasaran Asean dengan jumlah penduduk seramai 630 juta orang - 100 kali daripada jumlah penduduk Singapura dan banyak lagi.

“Dan sudah tentu, rakyat  Singapura turut mendapat manfaat daripada aliran bebas barangan dan perkhidmatan. Di pasar raya, kita boleh membeli beras Thai, kopi Vietnam, mangga kering Filipina, kerupok  Indonesia dan durian Musang King Malaysia, semuanya pada harga yang amat berpatutan terutamanya durian.

“Dan dengan banyak penerbangan terus antara  negara kita, jutaan rakyat Singapura mengunjungi negara lain di Asia Tenggara pada setiap tahun, untuk kerja dan bercuti," katanya.

Asean ditubuhkan pada 1967 dan 10 negara anggota Asean mengambil giliran untuk menerajui pertubuhan tersebut.

Kali terakhir Singapura menjadi Pengerusi Asean adalah pada  2007. - Bernama