WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan penutupan pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington susulan kebimbangan cubaan Palestin mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyiasat sekutunya Israel.

Keputusan yang diumumkan Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton dilihat bertujuan memperluaskan tekanan AS di saat usaha damai Asia Barat terhenti.

“AS akan sentiasa berdiri bersama-sama rakan dan sekutu kami, Israel.

“Pentadbiran Presiden Donald Trump tidak akan membiarkan pejabat itu dibuka apabila Palestin enggan memulakan rundingan langsung dengan Israel,” kata Bolton dalam rangka yang diperoleh The Wall Street Journal.

Bolton juga mengancam mengenakan sekatan terhadap ICC jika ia meneruskan tindakan menyiasat AS dan Israel.

“Jika ia menyiasat kami, Israel atau sekutu lain, kami tidak akan berdiam diri,” kata Bolton.

Antara lain, katanya, AS akan melarang hakim ICC dan pendakwa raya daripada memasuki negara itu.

“Kami akan menyekat dana mereka dalam sistem kewangan AS dan mendakwa mereka mengikut sistem jenayah AS, kami juga akan bertindak ke atas mana-mana syarikat atau negara yang membantu siasatan ICC ke atas AS,” katanya. - Reuters