WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan dua diplomat tertinggi Venezuela untuk meninggalkan negaranya dalam tempoh 48 jam susulan arahan pengusiran dua duta AS oleh Presiden Nicolas Maduro.

"Tindakan ini diambil untuk membalas tindakan Presiden Maduro mengisytiharkan Charge d'Affaires dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan AS di Caracas sebagai persona non grata," kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Maduro mengusir dua diplomat tertinggi AS, Todd Robinson dan Brian Naranjo sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas negaranya berhubung kemenangan pilihan raya Maduro yang didakwa terpalit konspirasi dan tidak memenuhi standard demokratik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Venezuela usir dua diplomat AS]

Pilihan raya itu diboikot parti pembangkang utama dan dikecam masyarakat antarabangsa, termasuk AS yang melabel kemenangan tersebut sebagai penipuan.

Sementara itu, Caracas mendakwa ia menjadi mangsa 'komplot politik dan kewangan'. - AFP