WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Washington semalam, mengumumkan keputusan memperketatkan pengeluaran visa kepada warga Myanmar dan Laos, berikutan keengganan kedua-dua negara itu menerima rakyat mereka yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat.

"Kedua-dua negara di Asia Tenggara itu menafikan atau menangguhkan langkah menerima rakyat mereka yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat tanpa alasan yang munasabah.

"Berikutan itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Jabatan Negara sudah mengarahkan pejabat konsulat di Myanmar dan Laos untuk melaksanakan sekatan terhadap beberapa kategori permohonan visa.

"Ia akan dilaksanakan sehinggalah penjelasan lanjut diperoleh dari Myanmar dan Laos dan sekatan ini mungkin diperluaskan kepada beberapa kategori lain," kata DHS.

DHS berkata, tindakan Myanmar dan Laos yang enggan menerima semula rakyat mereka menyebabkan jabatan imigresen Amerika Syarikat terpaksa 'melepaskan' beberapa penjenayah berbahaya ke dalam negara itu. - AFP