WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) dan Cuba mengadakan perbincangan dwitahunan mengenai migrasi di Washington pada Rabu, dengan fokus utama berkaitan isu penghijrahan yang tidak tersusun.

Menurut agensi berita Xinhua, Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan berkata, delegasi Washington dan Havana mendapati pengurangan ketara dalam penghijrahan tidak tersusun dari Cuba ke AS sejak Januari tahun lepas.

Kenyataan itu menyebut, kebimbangan berhubung kemasukan migran Cuba di pelabuhan AS menurun sebanyak 88 peratus dalam tahun fiskal 2017 hingga 2018, berakhir 30 September.

Pengurangan itu disebabkan pembatalan dasar "wet-foot, dry-foot" pada pertengahan Januari tahun lepas, satu dasar imigresen khas AS yang memberikan risidensi kepada rakyat Cuba yang tiba di AS tanpa visa.

Undang-undang ketinggalan zaman, yang telah diguna pakai lebih 20 tahun itu, adalah satu daripada dasar era Perang Dingin yang masih berterusan, walaupun berlaku pemulihan hubungan diplomatik antara kedua negara pada 2015.

Perbincangan dwitahunan itu bermula pada tahun 1995, berfungsi sebagai forum bagi kedua-dua negara untuk meneliti dan menyelaraskan usaha berkaitan migrasi.  - Bernama