RIYADH - ARAB SAUDI.  Arab Saudi, semalam mengumumkan akan memindahkan AS$2 bilion (RM7.9 bilion) kepada bank pusat Yaman selepas pemimpin negara bergolak tersebut merayu bantuan dana diberikan kepada mereka.

"Raja Salman Abdulaziz telah mengarahkan pemindahan deposit terbabit bagi membantu penduduk berdepan situasi ekonomi yang merosot di Sanaa,"  menurut Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ahmed Dagher menerusi Facebook berkongsi surat menggesa penyokong kerajaan memindahkan wang tunai ke bank pusat untuk menyelamatkan penduduk negara itu.

Selain itu, Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi turut menghubungi Putera Mahkota Mohammed Salman menerusi panggilan telefon untuk berbincang tentang cabaran ekonomi yang dihadapi mereka.

Krisis di negara itu yang menyaksikan pembahagian kuasa antara kerajaan di selatan manakala kumpulan pemberontak Houthi di ibu negara dan utara telah menyebabkan  lebih tiga suku penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan serta 8.4 juta berisiko kebuluran. - AFP

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :