INDIANA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun tertembak ibunya ketika berada di dalam sebuah kereta.  

Polis berkata, insiden malang itu berlaku Selasa lalu di Indiana ketika kanak-kanak terbabit duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

“Semasa kejadian, kanak-kanak terbabit duduk di belakang bersama adik lelakinya yang berusia setahun.

“Dia kemudian mencapai pistol yang ditinggalkan teman lelaki ibunya sebelum tertarik picu menyebabkan satu das tembakan mengenai bahagian belakang wanita terbabit yang duduk di hadapan.

“Wanita itu yang sedang hamil sempat keluar dari kenderaan terbabit sebelum jatuh pengsan,” kata polis semalam.

Polis bagaimanapun enggan mengulas lanjut kondisi wanita berkenaan dan kandungannya.

Susulan itu, teman lelaki wanita terbabit, Menzo Brazier telah ditahan polis atas tuduhan cuai dan membahayakan nyawa kanak-kanak. - ABC News