BIMA - INDONESIA. Penduduk Kabupaten Bima, Nusa Tenggara Barat gempar dengan kelahiran seekor anak kambing dengan satu mata tepat di atas dahinya selain mulut, dagu dan hidungnya didakwa menyerupai manusia.

Keadaan luar biasa haiwan itu menyebabkan penduduk setempat tidak mahu melepaskan peluang melihat dan mengambil gambar anak kambing menyerupai manusia itu.

Pemiliknya, Khaidir berkata, anak kambing itu dilahirkan kelmarin dan perkara paling mengejutkan adalah suaranya sama seperti tangisan bayi manusia baru lahir.

"Saya baru menyedari tentang perkara itu selepas pulang dari masjid. Pada awalnya, isteri saya menyangka ada bayi dibuang berhampiran rumah kami. Setelah diperiksa, ia adalah suara anak kambing tersebut. Suaranya sama seperti bayi manusia," jelasnya.

Isteri Khaidir yang pada asalnya takut akhirnya memberikan susu botol kepada anak kambing tersebut.

Difahamkan, ibu kambing tersebut melahirkan dua anak yang mana salah satunya adalah normal.

Kejadian aneh itu turut menjadi tular di media sosial. - Kompas.com