APABILA berlaku insiden pembunuhan beramai-ramai di Amerika Syarikat (AS), ia adalah satu tragedi luar biasa di negara tersebut.

Tahukah anda kejadian amukan tembakan di AS adalah lebih tinggi berbanding negara lain seluruh dunia?

Ia ditakrifkan sebagai insiden serangan berprofil tinggi melibatkan empat atau lebih mangsa dan tidak termasuk pembunuhan geng atau keluarga.

Beberapa kejadian amukan tembakan yang dilaporkan sebelum ini adalah di sebuah pawagam di Aurora, Colorado dan Sandy Hook Elementary School di Newtown, Connecticut pada 2012.  

Menurut satu kajian, terdapat 90 kejadian serangan dilaporkan antara 1966 dan 2012.

Ia hampir satu pertiga daripada 292 kejadian sama yang berlaku di seluruh dunia sepanjang tempoh tersebut.

Profesor Madya Keadilan Jenayah di Universiti Alabama, Adam Lankford menyatakan ramai orang terkejut dengan statistik itu, ketika beliau membentangkan analisisnya dalam satu persidangan pada minggu lalu.  

Tempat kerja, sekolah sasaran utama

Lankford turut menilai rekod setiap insiden dan mendapati beberapa faktor biasa yang menjadikan kejadian amukan di AS adalah berbeza dari negara lain.

Di AS, penduduk berisiko terbunuh dalam insiden tersebut jika mereka sedang bekerja atau berada di sekolah kerana kedua-dua premis tersebut sering menjadi sasaran utama penyerang.

Bagaimanapun, jika di negara lain, kejadian sama biasanya berlaku berhampiran pangkalan tentera.

Menurutnya, lebih separuh daripada kes yang dilaporkan menunjukkan penyerang memiliki lebih satu senjata api berbanding penembak di negara lain yang hanya mempunyai hanya satu pistol atau senapang.

Data juga menunjukkan purata 6.87 mangsa dalam setiap kejadian, manakala purata 8.8 mangsa dalam setiap insiden sama di 171 negara.

"Jumlah korban amukan tembakan di negara ini juga tidak terlalu tinggi kerana pihak berkuasa telah memberi latihan kepada penduduk bagaimana untuk menghadapi kejadian seumpama itu walaupun ia jarang berlaku berbanding jenayah lain," katanya.

Penyerang alami masalah mental

Data menunjukkan kebanyakan penyerang di AS mengalami masalah mental, namun beberapa kajian mendapati anggaran jumlah penyakit itu tidak meningkat dengan ketara.  Analisis terbaharu dilakukan oleh Harvard School of Public Health dan Universiti Northeastern

mendedahkan, kejadian serangan tembakan itu meningkat tiga kali ganda pada 2011 hingga 2014.

Serangan awam dilaporkan berlaku setiap 64 hari secara purata.

Dalam tempoh 29 tahun lalu, ia berlaku setiap 200 hari secara purata.

Sebaliknya, kadar pembunuhan keseluruhan dan keganasan senjata api telah menurun dengan ketara sejak dua dekad lalu.

Beberapa penyelidik percaya pembunuhan beramai-ramai seumpama itu boleh 'berjangkit' dalam tempoh 13 hari.

Satu kejadian tembakan akan meningkatkan risiko serangan susulan dalam tempoh dua minggu kemudian.

Selain itu, fenomena copycat atau peniru adalah lebih teruk kerana senjata api mudah didapati di AS berbanding negara lain.

Lankford menjelaskan Washington memiliki senjata api lebih banyak berbanding negara lain dengan anggaran 270 juta hingga 310 juta dalam edaran di negara terbabit.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Pew, satu pertiga daripada 318.9 juta penduduk AS mendedahkan, mereka atau individu lain di dalam rumah atau keluarga mereka mempunyai senjata api.

Difahamkan, India juga mengalami masalah sama seperti di AS, di mana sebanyak 46 juta senjata api dimiliki secara bebas di negara yang mempunyai populasi lebih besar iaitu 1.25 bilion penduduk.

Bagaimanapun, New Delhi tidak tersenarai sebagai lima negara teratas yang digemparkan dengan kejadian amukan tembakan.  

Kajian Lankford juga menunjukkan undang-undang senjata api lebih ketat mengurangkan risiko kejadian serangan tersebut.

"Australia bertindak segera meluluskan cadangan untuk mengetatkan undang-undang senjata api selepas negara itu dikejutkan dengan empat kejadian amukan tembakan antara 1987 dan 1996.

"Kini, negara tersebut tidak lagi mengalami kejadian amukan tembakan seperti yang sering melanda AS sejak akhir-akhir ini," jelasnya lagi.

 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.