YANGON - MYANMAR. Amnesty International bertindak menarik balik anugerah paling berprestij yang diberikan kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana kegagalan beliau bersuara mengenai keganasan terhadap minoriti Islam Rohingya.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan hak asasi manusia itu berkata, Suu Kyi melindungi pasukan keselamatan daripada dipertanggungjawabkan atas keganasan terhadap etnik Rohingya.

Ia turut menyifatkannya sebagai pengkhianatan memalukan terhadap nilai yang pernah dipegang satu ketika dulu.

Dalam surat yang dikirim kepada Suu Kyi Ahad lalu, Setiausaha Agung Amnesty International, Kumi Naidoo menulis, Anugerah Duta Hati Nurani 2009 yang diterima Suu Kyi ketika dikenakan tahanan rumah kerana menentang junta Myanmar, ditarik balik kerana pemimpin itu tidak lagi mewakili simbol harapan, keberanian dan pembelaan hak asasi manusia.

Lapan tahun selepas dibebaskan, Suu Kyi mengetuai partinya mencapai kemenangan pada 2015 dan menubuhkan kerajaan tahun berikutnya namun terpaksa berkongsi kuasa dengan junta serta tiada kawalan terhadap tentera.

Akibatnya, lebih 700,000 minoriti tanpa kerakyatan itu melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak kekejaman tentera Myanmar.

Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pihak tentera melancarkan kempen pembersihan etnik, namun pentadbiran Suu Kyi menepis tuduhan yang dilabel berat sebelah dan berkata, tindakan ketenteraan tersebut adalah sah dalam usaha mengekang pemberontakan. - Reuters