KAHERAH - MESIR . Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam memberi pengampunan kepada lebih 330 pemuda menjelang ketibaan Ramadan yang mana sebahagian mereka ditahan ketika menyertai tunjuk perasaan.

"Saya mengarahkan Menteri Dalam Negeri membebaskan individu terbabit bagi membolehkan mereka bersahur dengan keluarga masing-masing," kata beliau ketika persidangan pemuda menerusi stesen TV.

Pada 2016, al-Sisi berjanji tentang pembebasan itu selepas tindakan keras menyasarkan penyokong bekas presiden Mohammed Mursi yang digulingkan tentera pada Julai 2013.

Tunjuk perasaan semakin jarang diadakan di negara itu selepas pihak berkuasa meluluskan undang-undang melarang perhimpunan haram pada November 2013.

Pihak berkuasa telah menggunakan undang-undang tersebut untuk melarang demonstrasi antikerajaan di seluruh negara. - AFP