BERLIN - JERMAN. Ahli politik Jerman akhirnya mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan gabungan baharu, kelmarin.

Rangka tindakan untuk rundingan rasmi telah dipersetujui antara parti Kristian Demokrat (CDU) pimpinan Canselor Angela Merkel dan bekas rakan gabungan mereka, Sosial Demokrat (SPD) selepas perbincangan selama lebih 24 jam untuk membahaskan tentang dokumen setebal 28 muka surat.

Merkel yang mendapat jolokan wanita paling berkuasa di dunia itu dan pemimpin SPD, Martin Schulz memberitahu mereka yakin 'gabungan besar' baharu bakal dibentuk.

"Kesepakatan awal akan memecah kebuntuan di Berlin dan membuka jalan 'permulaan baharu' untuk Eropah. Kami nekad menggunakan kekuatan Jerman," kata pemimpin terbabit menerusi kenyataan bersama dalam satu sidang media.

Merkel menegaskan persetujuan dengan SPD itu yang perlu mendapat kelulusan partinya akan memastikan kestabilan dan kemakmuran Jerman kekal.

Selain itu, persetujuan berjaya dicapai terhadap perkara penting seperti isu migrasi yang mana mereka turut merancang mengehadkan jumlah kemasukan pemohon suaka kepada kira-kira 200,000 orang setahun.

Sementara itu, beberapa penganalisis melihat Merkel akan memulakan penggal keempat dengan pengaruh yang semakin berkurangan di samping visi membentuk masa depan Eropah yang kurang jelas.

Beliau mungkin berdepan antara gabungan 'tewas' dengan cita-cita dan kuasa kecil untuk menangani cabaran utama dihadapi Jerman serta benua Eropah.

"Sebenarnya 'gabungan besar' itu adalah gabungan kecil dengan hanya 53 peratus kerusi Parlimen susulan pilihan raya pada September lalu yang menyaksikan sokongan beralih kepada parti Alternatif bagi Jerman (AfD).

"Ia jelas menunjukkan perbezaan majoriti hampir 80 peratus yang diperoleh CDU ketika penggal pemerintahan sebelum ini," kata saintis politik di Universiti Duisburg-Essen, Karl-Rudolf Korte. - Agensi